Thursday, 1 May 2014

BELAJAR MEMBACA

Membaca dimaksudkan sebagai proses memperoleh tafsiran yang bermakna ke atas lambang-lambang bercetak dan bertulis. Harris dan Sipay (1980), proses membaca adalah keupayaan seseorang mengecam bentuk visual dan menghubungkan bentuk itu dengan bunyi ataupun makna yang diketahui melalui pengalaman dan akhirnya berupaya mentafsirkan maksudnya. Belajar membaca merupakan suatu proses interaksi antara teks dan imaginasi pembaca. Perkataan proses membawa erti makna sesuatu yang bermula dan kemudian berakhir. Pembaca memerlukan tiga aspek bagi tujuan memperoleh situasi interaksi dengan teks, membuat jangkaan, menganggap teks sebagai peristiwa kehidupan dan persamaan dengan kehidupan. Kesemua aspek itu saling berkaitan dan banyak  menekankan keperluan menganggap membaca sebagai sesuatu yang dinamik dan berkaitan dengan kehidupan.
Pembaca perlu menggerakkan mindanya secara aktif ketika cuba untuk membuat interpretasi ini. Dia tidak boleh leka atau duduk diam ketika melaksnakan aktiviti membaca. Mindanya perlu berkerja keras untuk membuat interpretasi berdasarkan pelbagai maklumat yang dikirimkan oleh mata ke mindanya.
Proses membaca yang ditekankan adalah perlunya pembaca mewujudkan pemahaman. Proses pembaca adalah usaha berterusan yang dilakukan oleh pembaca melalui amalan kognitif bagi memperoleh makna teks yang dibaca. membaca merupakan asas literasi yang digunakan sebagai alat komunikasi secara langsung dan tidak langsung. Oleh itu, pembaca melakukan pembacaan dengan tujuan menambahkan maklumat yang diketahui. Menurut Smith (1994), membaca bermaksud memberikan peluang kepada seseorang untuk mendapatkan sesuatu yang lebih luas sifatnya. Pandangan yang diusulkan ini berkait rapat antara bahasa dengan pemikiran seperti yang dibuktikan oleh tokoh terkemuka seperti Piaget, Vygotsky dan Luria.
                                                                                                  

No comments:

Post a Comment